KUCHING, 29 Mei : Penglibatan pelbagai agensi sangat diperlukan untuk menyerlahkan lagi bakat para penggiat seni muzik di Sarawak.
Pengarah Wavemix Production, Jimmy Pelikat berkata menerusi pendekatan yang jelas termasuk melibatkan gedung membeli -belah, ia dapat membuka peluang kepada bakat-bakat baharu dan lama untuk berkarya.
Beliau turut memberi contoh menerusi kerjasama pihaknya dengan Plaza Merdeka, ia dapat mengembangkan lagi dunia hiburan tempatan.
“Kami teruja dengan persetujuan Plaza Merdeka untuk menyediakan tempat bagi artis-artis baharu untuk bergabung membuat persembahan,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Wavemix Production dengan Plaza Merdeka bersempena perasmian Pentas Gawai 2022 di sini semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar Plaza Merdeka, Datin Anriza Wong Cordero berkata, langkah menyediakan pentas persembahan untuk bakat tempatan merupakan bertujuan untuk menampilkan bakat-bakat Sarawak sebagai salah satu daya tarikan untuk menarik pengunjung.
“Program berkonsepkan berhibur sambil membeli belah ini adalah tepat sebagai penyuntik semangat bagi para penggiat seni tempatan,”katanya.
Pada masa sama, Anriza berkata, gedung berkenaan berbangga kerana dapat mengambil bahagian untuk mempromosikan Hari Gawai yang merupakan perayaan terbesar di Sarawak.
“Kerjasama dalam penganjuran Pentas Gawai 2022 bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai pengertian perayaan Hari Gawai.
“Kita patut berbangga dengan Hari Gawai yang merupakan tradisi. Generasi muda tidak akan dapat melihat jika kita tidak mengekalkannya,” katanya.-TVS