KUCHING, 29 Mei : Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada bulan depan dijangka akan ‘mengotakan janji’ ke arah meremajakan parti itu dan seterusnya menarik minat golongan belia.
Setiausaha Agungnya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, sekiranya pindaan Perlembagaan PBB diterima sebulat suara bagi membolehkan belia berusia 18 tahun menjadi ahli parti itu secara automatik, ia merupakan perkara yang signifikan.
“Pindaan itu lebih kepada bagaimana kita boleh mendaftarkan golongan belia berusia 18 hingga 28 tahun secara automatif (sebagai ahli),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di sini hari ini.Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh
Presiden PBB yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut hadir mempengerusikan mesyuarat hari ini.
Sementara itu, Alexander Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, pemilihan bagi jawatan di semua peringkat akan bermula pada 17 Jun depan.
“Pada 17 Jun untuk Pemuda dan akan berlarutan sehingga keesokan harinya bagi cawangan yang memerlukan tambahan masa untuk melakukan pemilhan melibatkan peringkat Pemuda, Wanita dan induk.
“Kali ini pemilihan jawatan melibatkan semua peringkat,”katanya.
Ditanya mengenai usul – usul yang dikemukakan oleh cawangan PBB setakat ini, Alexander Nanta berkata, antara yang ‘menarik perhatian’ beliau ialah cadangan supaya jawatan Yang di-Pertua dan Timbalannya tidak dipertandingkan.
“Usul ini pernah dikemukakan sebelum ini,”katanya.
Perhimpunan Agung PBB kali ini bakal diadakan selama tiga hari bermula pada 17 hingga 19 Jun 2022 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK). – TVS