SIBU, 29 Mei : Dua pemandu lelaki ditahan kerana dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol pada malam kelmarin dalam satu operasi di Jalan Channel, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, ujian saringan pernafasan mendapati bacaan kandungan alkohol mereka melebihi kadar dibenarkan.
“Kedua – duanya dibawa ke Balai Polis Trafik Sungai Merah untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan media.
Sementara itu, beliau memberitahu Op Mabuk yang bermula pada pukul 11 malam pada Jumaat hingga 2 pagi Sabtu menyaksikan sebanyak 18 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu – lintas.
“Sebanyak 58 kenderaan dan 45 orang telah diperiksa dalam operasi itu,”katanya.
Pada masa sama, Zulkipli turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan undang-undang jalan raya terutama menjelang musim perayaan Gawai Dayak ini. -TVS