KUCHING, 29 Mei : Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) bekerjasama dengan dua agensi bagi menyediakan platform untuk memasarkan produk Sarawak ke pasaran antarabangsa pada September ini.
Pengurus Besarnya, Shahren Yusri berkata, inisiatif bersama Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC) dan Malaysia Airport Berhad itu menerusi Program Sense of Malaysia (SOM) dijangka akan memanfaatkan komuniti perniagaan tempatan terutamanya yang terlibnat dengan penghasilan produk warisan.
Katanya, sebagai permulaan, program itu akan dilangsungkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) yang merupakan lokasi sesuai untuk memenuhi permintaan pasaran luar Sarawak.
“Program berkenaan kelak merupakan permulaan kepada program SOM yang seterusnya dan saya percaya, pada masa akan datang lebih banyak program seumpamanya akan diadakan untuk memperkenalkan produk Sarawak ke pasaran antarabangsa,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Community Technical Outreach Programme (CTOP ) yang berlangsung sempena seminar Bina Jenama Sampai Ke Bulan di Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) Sarawak, Nor Intan Pamin dan Pengerusi Belia Inovatif Sarawak, Kobis Zaiwin Kassim.
Mengulas potensi produk Sarawak untuk terus berkembang, Shahren berkata, produk komuniti yang mempunyai logo dan jenama yang telah diperakui MyIPO antara yang mampu menarik minat pasaran luar.
“Apabila mempunyai logo dan jenama, ia bukan sahaja dapat menyakinkan pengguna malah menggalakkan pembelian sekaligus membantu menjayakan inisiatif CENTEXS Commercial untuk membawa produk makanan dan kraf warisan Sarawak menembusi pasaran antarabangsa melalui lapangan terbang,”katanya. -TVS