KAPIT, 28 Mei : Kegembiraan tiga sahabat ‘turun’ ke Sungai Baleh untuk menjala ikan sebelum sambutan Hari Gawai berakhir dengan tragedi apabila bot mereka karam dalam kejadian pada tengah malam Rabu lepas.
Selepas dua hari kejadian, mayat Julius Melina, 35, yang dilaporkan hilang selepas kejadian itu ditemui pada pukul 4.11 petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Penolong Penguasa Bomba Timoty Barat berkata, mayat mangsa yang berasal dari Nanga Ibau ditemui terapung berhampiran Klinik Kesihatan Nanga Merirai yang terletak kira – kira 40 kilometer (km) dari lokasi kejadian.
“Dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai manakala mangsa hilang selepas bot karam,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau memberitahu, bomba menerima panggilan daripada Balai Polis Kapit memaklumkan kejadian itu pada pukul 12.23 tengah hari pada Khamis.
Difahamkan, mangsa bekerja di Empangan Balleh Putai. -TVS