BELAWAI, 28 Mei : Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM33.7 juta untuk melaksanakan Skim Pembesaran Kampung (SPK) membabitkan Kampung Belawai dan Kampung Jerijih di sini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, SPK itu dilaksanakan melalui pendekatan yang sama seperti di Kemuyang Sibu, Kabong dan kawasan-kawasan lain di bawah Jabatan Tanah dan Survey (JTS) Sarawak.
Menurutnya, pembangunannya akan dilaksanakan melalui kaedah baharu di mana infrastrukturnya akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.
“Selepas ini, projek pembesaran akan diteruskan melibatkan Taman Anjung Usahawan pula,”katanya.
Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Melanggar Raya Samah di Pantai Belawi di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh dan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Berhubung potensi pelancongan di Belawai, Abang Johari berkata, kajian teknikal akan dilakukan untuk mengenal pasti aspek yang boleh ditingkatkan untuk memacu sektor berkenaan.
Kata Abang Johari, terdapat cadangan untuk membina projek Tebingan Belawai membabitkan kos RM36 juta namun beliau berpandangan, kos sebenar mungkin lebih tinggi.
“Belawai berpotensi menjadi tarikan kerana terletak dalam rangkaian jalan pesisir , lebih mudah sampai selepas jalan ke Sarikei dan Jambatan Pasi siap kelak.
“Pelancong lebih mudah masuk dan menjadi hasrat kita supaya jaringan perhubungan di sini memudahkan,”katanya.
Selain itu, Abang Johari turut mencadangkan pembinaan taman untuk kenderaan caravan di pantai Belawai sebagai tarikan pelancongan. -TVS