KOTA KINABALU, 28 Mei : Prinsip ‘Sabah Diutamakan’ akan menjadi teras Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memperjuangkan tuntutan negeri itu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setiap butiran perundingan akan diteliti bersama ahli Majlis Tertinggi parti itu dalam jawatankuasa khas MA63.
Katanya, teras berkenaan telah dikenal pasti bagi memenuhi aspirasi Agenda Sayangi Sabah.
“Teras Sabah Diutamakan (Sabah First) bermatlamat meletakkan hak dan kepentingan Sabah serta menganjak status pembangunan negeri ini dalam pelbagai aspek pada kedudukan teratas.
“Sabah First tidak bermaksud mengenepikan kepentingan nasional namun sebagai wadah tempatan amanah dan tanggungjawab besar GRS adalah memperjuangkan kepentingan negeri sebagai keutamaan nombor satu,”katanya ketika melancarkan GPS di sini hari ini.
Komponen GRS terdiri daripada lima parti iaitu Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Beliau berkata, matlamat membina Sabah yang lebih maju dan berjaya perlu diangkat sebagai agenda nasional demi menjamin kemakmuran dan kelestarian Persekutuan Malaysia.
Dalam soal ini katanya, Sabah mempunyai kelebihan kerana pemimpin tempatan seperti Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili boleh menyuarakan pandangan dan pendapat dari negeri ini.”Kedudukan beliau sebagai Menteri Hal ehwal Sabah dan Sarawak membolehkan beliau memantau pelaksanaan di peringkat Kerajaan Persekutuan,”katanya. -TVS