KUCHING, 28 Mei : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Datin Sri Feona Norjanah Wan Junaidi, isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meninggal dunia petang semalam.
Ketibaan Abang Johari kira – kira pukul 8.57 pagi tadi di Jalan Green, Kuching di sini disambut oleh Wan Junaidi.
Menerusi video yang dikongsi Pejabat Premier Sarawak, Abang Johari dilihat memeluk Wan Junaidi dan memberikan kata – kata semangat.
Premier Sarawak itu kemudian turut menyertai solat jenazah sebelum majlis pengembumian pada pukul 10 pagi di Tanah Perkuburan Samariang.
Feona Norjanah, 70, meninggal dunia pada pukul 6 petang semalam akibat pendarahan dalaman ketika menerima rawatan di Borneo Medical Centre.
Pasangan berkenaan melangsungkan perkahwinan pada 1972 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sharifah Fariah, 49, Sharifah Nong-Jasima, 38 dan Sharifah Nuril Barieyah, 29.
Antara pemimpin lain yang turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Sri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni. – TVS