KUCHING, 27 Mei : Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan cadangan untuk menaikkan elaun kehadiran wakil rakyat pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak memberi kesan besar kepada perbelanjaan kerajaan negeri.
Katanya, tambahan elaun itu bukan bertujuan untuk meningkatkan pendapatan wakil rakyat oleh kerana sidang hanya berlangsung dua kali dalam masa setahun.
“Sidang DUN hanya berlangsung selama dua minggu sahaja atau 14 hari.
“Oleh itu sekiranya berlaku kenaikan daripada RM50 ke satu kadar baharu, ia sangat minima dan tidak memberi kesan yang ketara kepada perbelanjaan,”katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan negeri secara prinsipnya bersetuju untuk menaikkan elaun kepada wakil rakyat yang hadir bersidang.
Kadar ketika ini ialah RM50 sehari dan kekal sejak 1980.
Mengulas lanjut, Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, beliau percaya rakyat akan memahami mengenai cadangan ini oleh kerana jumlah berkenaan tidak berubah sejak 40 tahun lalu.
Namun beliau berkata, tidak mustahil pembangkang akan membangkitkan isu itu untuk menyerang kerajaan negeri.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Juh Bermukun yang akan diadakan selama 76 jam tanpa henti untuk catatan Malaysia Book of Records.
Program tersebut yang berlangsung selama 4 hari bermula hari ini itu bertujuan menonjolkan budaya Melayu Sarawak kepada umum.-TVS