SIBU, 27 Mei : Ahli kaunselor Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Andy Ting King Dieng, 43, maut selepas kereta Mercedes yang dipandunya melanggar penghadang besi sebelum terjunam ke dalam Sungai Batang Rajang, dekat sini, malam tadi.
Kejadian yang berlaku di hadapan sebuah hotel terkenal di Lorong 4, Jalan Lanang itu disedari oleh tetamu yang menginap di situ dan kemudian memaklumkan kepada petugas hotel.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Suna Kaha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.02 tengah malam tadi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan dan kereta itu berjaya dikesan selepas anggotanya melakukan selaman kali kesembilan.
“Operasi SAR telah dilakukan secara ‘water surface rescue’ sejak awal pagi namun keadaan gelap menyukarkan pencarian.
“Selepas disambung pada pukul 7 pagi tadi, pasukan berjaya mengesan kereta berwarna putih itu pada pukul 2.55 petang.
“Mayat dapat dikeluarkan pada pukul 4.04 petang dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,”katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Difahamkan mangsa mempunyai dua orang anak manakala ibu bapanya dilihat tiba di kawasan kejadian ketika SAR berlangsung hari ini. -TVS