KOTA BHARU, 26 Mei : Seorang wanita cedera parah selepas ditikam menggunakan sebilah pisau oleh anak lelakinya yang berusia 14 tahun di rumahnya dekat Bukit Yong, Pasir Puteh pada Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Datuk Mohd Nor Yazhid Idris berkata kejadian dipercayai berlaku lebih kurang 11.45 malam ketika mangsa yang berusia 41 tahun sedang tidur bersama anaknya itu di dalam bilik, sebelum tiba-tiba terasa sakit pada bahagian dada.
“Mangsa kemudian melihat sebilah pisau tertusuk pada dadanya lantas memanggil suaminya yang sedang tidur di ruang tamu.
“Mangsa kemudiannya tidak sedarkan diri setelah bertindak mengeluarkan pisau tersebut sendiri sebelum dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh oleh suaminya,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mohd Nor berkata wanita itu kehilangan banyak darah dan sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) serta doktor mengesahkan paru-paru bahagian kirinya bocor.
“Siasatan awal polis mendapati mangsa telah ditikam oleh suspek yang juga anak ketiga dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur,” katanya dan menambah ketika kejadian remaja itu demam sejak dua hari dan memerlukan pemantauan daripada mangsa.
Beliau berkata suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – TVS