Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seramai 183 pelajar di Sarawak direkodkan tidak menamatkan persekolahan kerana 'terlibat' dengan kahwin awal. Gambar hiasan.

Tangisan ‘malam melah pinang’, Amy gadis Iban 13 tahun akur bergelar isteri

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 26 Mei : Mempelai perempuan biasanya merupakan insan yang paling teruja menjelang hari bahagia bergelar ‘Raja Sehari’.

Apa tidaknya, si dara yang berdebar menghitung hari bergelar isteri pastinya sibuk memikirkan tentang busana yang bakal disarung.

Turut tidak dilupakan perihal menempah jurusolek yang mampu memberikan sentuhan magis bagi menjadikan wajahnya paling jelita pada hari itu.

Malam berinai dalam budaya masyarakat Melayu atau melah pinang dalam adat Iban juga sering menjadi momen indah yang akan dikenang oleh seluruh ahli keluarga pengantin.

Amy, gadis bawah umur bersuamikan kaki botol

Bagaimanapun, babak bewarna warni yang sering dipaparkan dalam filem itu tidak berlaku kepada Amy (nama samaran), gadis Iban berusia 13 tahun berasal dari Bintulu.

Secara esklusif kepada TVS, remaja berkenaan berkongsi gelora di hatinya apabila terpaksa bergelar isteri pada usia yang sangat muda, sesuatu yang tidak pernah dibayangkan.

Dilahirkan pada 2009 dalam keluarga miskin di kawasan setinggan, perempuan ini sejak awal sudah hilang kasih sayang ibu dan ayah apabila dibesarkan oleh nenek bersama tujuh lagi adik beradiknya.

Kata Amy, kehidupan mereka sentiasa dibelenggu kemiskinan.

“Suami saya yang berusia 32 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori.

“Kami tinggal sekampung, saya tidak tahu bagaimana secara tiba-tiba keluarga mertua datang berjumpa dengan nenek untuk meminang saya menjadi isterinya,” katanya menerusi temu bual yang diatur oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru – baru ini.

Kata Amy, setelah beberapa bulan, perkahwinan itu berlangsung dalam keadaan dia langsung tidak bersedia.

“Saya masih ingat lagi pada malam melah pinang, saya buntu dan menangis namun perkahwinan tetap dilangsungkan mengikut adat Iban,” katanya.

Setelah bergelar isteri, Amy berkata, kehidupannya tidak banyak berubah apabila terperap sahaja di rumah malah tidak ‘mewah’ kerana pendapatan suaminya hanya ‘sekadar cukup makan sahaja’.

Lebih memburukkan keadaan, Amy mendedahkan, sikap kaki botol suaminya menyebabkan pertengkaran sering ‘mewarnai’ hari mereka.

“Sebenarnya, saya teringin untuk menyambung persekolahan dan masuk universiti namun apabila suarakan hasrat itu kepada suami, dia langsung tidak bersetuju,” katanya.

Katanya, status isteri pada usia muda yang disandangnya tidak memberi sebarang makna dan sebenarnya dia ‘sangat menderita’ namun tidak ada kudrat untuk melawan ketetapan keluarga.

Ditanya mengenai cita – citanya, Amy berkata, sebelum COVID-19, dia pernah bekerja sebagai pelayan di kedai makan dan sangat berharap dapat mengusahakan perniagaan sendiri suatu hari nanti.

“Saya tidak tahu sampai bila akan hidup begini,” katanya mengakhiri perbualan.

Siti, pelajar pintar mangsa rogol terpaksa kahwin awal

Berbeza dengan Amy, kisah Siti (nama samaran),15, yang terjebak dengan perkahwinan pada usia bawah umur adalah kerana rasa cinta yang begitu menebal terhadap seorang pemuda berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai.

Siti memberitahu, suaminya merupakan ‘penyelamat’ tragedi hitam yang menimpanya apabila dirogol oleh rakan ayahnya beberapa bulan sebelum itu.

“Akibat perbuatan lelaki itu, saya mengandung manakala keluarga sangat malu apabila mengetahui keadaan diri saya.

“Saya berterus terang dengan ayah mengenai perbuatan rakannya tetapi tidak ada siapa yang percaya.

“Kehidupan saya sangat tertekan ketika itu dan akhirnya keguguran,” katanya.

Menurutnya, selepas selesai ‘masalah kandungan luar nikah’, keluarganya mahu dia segera berkahwin.

Percaya telah menemui cinta sejatinya, gadis yang sering mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini nekad berhenti sekolah untuk berkahwin.

“Melalui seorang rakan, saya berkenalan dengan suami dan jatuh cinta kepadanya. Dipendekkan cerita, kami akhirnya berkahwin,” cerita Siti.

Perkahwinan Siti juga bukan penamat kepada kisah sengsaranya apabila berdepan masalah kesempitan hidup kerana gaji suaminya yang kecil.

“Untuk berjimat, kami tinggal di rumah mertua namun kehadiran saya tidak begitu disenangi terutamanya oleh kakak dan abang ipar yang menganggap saya sebagai orang luar,” katanya yang pernah bercita – cita bergelar guru.

Tina, pelajar sekolah yang hanyut kerana cinta

Turut terjebak dengan perkahwinan bawah umur, seorang lagi yang menyandang status isteri pada usia yang sangat muda ialah Tina (nama samaran) juga berasal dari Bintulu.

Secara berterus – terang, isteri berusia 16 tahun ini mengakui, apa yang berlaku terhadap dirinya adalah atas kesilapannya sendiri.

“Saya terlalu mengikut hawa nafsu pada usia yang sangat muda iaitu ketika berada di tingkatan tiga.

“Saya terlanjur dengan bekas teman lelaki hingga melahirkan anak,” katanya.

Kata Tina, episod dihalau dari rumah keluarga bermula apabila dia berterus terang dengan keluarganya tentang perbuatannya itu.

“Mereka sangat marah dan berasa malu. Ibu bapa saya memaksa kami berkahwin pada usia muda, suami saya berusia 17 tahun ketika itu,” katanya.

Menurut Tina, ketika ini dia sukar untuk membiasakan diri dengan kehidupan sebagai seorang ibu muda.

“Saya tidak pernah berjauhan dengan keluarga, sudah pasti sangat sedih apabila dihantar ke sini (rumah keluarga mertua),” katanya.

Bertambah tekanan, Tina berkata, dia berasa sangat penat terpaksa menguruskan anak kecil.

“Saya merasakan tidak ada sesiapa yang peduli terhadap saya,” katanya yang enggan berkongsi bagaimana penerimaan keluarga mertua dan sikap suaminya selepas mereka sah bergelar suami isteri.

Sarawak tidak sokong perkahwinan bawah umur – Fatimah

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, isu berkenaan merupakan perkara yang menjadi perhatian kementerian berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri secara konsisten bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi menyokong had perkahwinan 18 tahun dapat dilaksanakan merangkumi semua lapisan kaum dan agama.

Sehubungan itu, Fatimah berkata, ‘tidak tepat’ jika ada pihak tertentu mendakwa Sarawak tidak menyokong pelaksanaan had umur perkahwinan.

“Usaha ke arah itu memerlukan masa.

“Ini merupakan isu yang diberi perhatian oleh kita (Kerajaan Sarawak) dan Kerajaan Persekutuan,”katanya.

Ditanya tentang faktor berlakunya perkahwinan bawah umur di negeri ini, Fatimah memberitahu, pihaknya mengenal pasti dua punca.

“Berdasarkan maklumat awal, faktor yang menyumbang kepada perkara ini adalah isu kemiskinan dan kes terlanjur di kalangan remaja bawah umur,” katanya.

Fatimah menjelaskan, Sarawak mempunyai tiga sistem perundangan berkaitan dengan perkahwinan iaitu undang-undang sivil, syariah serta adat dengan dua daripada undang-undang tersebut telah menetapkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Fatimah yang ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, untuk undang-undang syariah di Sarawak walaupun berdasarkan faktor psikologi dan biologi (akal baligh) namun jika ianya melibatkan remaja bawah umur perlu mendapatkan kelulusan daripada mahkamah syariah sebelum perkahwinan dapat diteruskan.

“Undang-undang sivil di Sarawak telah menetapkan had umur 18 tahun namun dalam situasi tertentu misalnya jika remaja perempuan di bawah umur hamil sebelum berkahwin perlu mendapat kelulusan dari kerajaan negeri menerusi Residen Bahagian masing-masing sebelum dibenarkan berkahwin dengan pasangan,” katanya.

Sementara itu, mengikut laporan Tabung Kanak – Kanak Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, setakat 9 Mac lepas, terdapat 1,856 kanak – kanak bawah umur telah berkahwin pada 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad pula dilaporkan pernah berkata, seramai 445 pelajar sekolah di seluruh negara tidak menamatkan persekolahan atas alasan ingin berkahwin bagi tempoh 2020 hingga kini.

Katanya jumlah itu melibatkan seramai 411 orang pelajar perempuan dan 34 lagi pelajar lelaki.

Sarawak merupakan negeri yang mencatatkan kes tertinggi sebanyak 183 kes dan diikuti Sabah (86), Kelantan (43), Pahang (38), Terengganu dan Perak masing-masing 21 kes.

Ia diikuti Kedah (17), Selangor (12), Johor (10), Perlis dan Pulau Pinang (empat), Negeri Sembilan (tiga), Melaka (dua), dan Labuan (satu). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan