JERMAN, 26 Mei : Jerman memesan sebanyak 40,000 dos vaksin Bavarian Nordic sebagai persediaan untuk memvaksin rakyat yang dijangkiti virus cacar monyet, lapor Reuters.
Langkah berkenaan juga sebagai “persediaan terbaharu’ sekiranya wabak itu semakin teruk di negara yang mempunyai lebih 84 juta penduduk itu.
Ketika ini Jerman ‘bergantung’ kepada langkah berjaga-jaga bagi berdepan wabak yang mula ‘dikira’ pada 20 Mei lepas.
Bavarian Nordic, syarikat vaksin yang berpangkalan di Denmark telah membangunkan dos berkenaan berdasarkan virus cacar Vaccinia Ankara yang diubah suai.
“Vaksin itu pastinya merupakan perkembangan lanjut daripada vaksin cacar konvensional dan direka khusus sebagai alternatif yang lebih selamat,” kata Heinz Weidenthaler, Naib Presiden syarikat itu.
Weidenthaler turut memberitahu, vaksin itu sebenarnya dibangunkan di pusat vaksin mereka pada 1960-an dan 1970-an ketika kempen vaksinasi terhadap penyakit cacar asal masih berjalan.
Menteri Kesihatan Jerman, Karl Lauterbach kelmarin turut mengumumkan tempoh pengasingan selama 21 hari sekurang-kurangnya disyorkan kepada individu yang dijangkiti buat masa ini dan katanya kaedah itu ‘mencukupi’untuk membendung wabak itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesahkan lebih 250 jangkitan cacar monyet setakat ini.
United Kingdom kini mencatat jumlah jangkitan terbesar dengan 71 kes, diikuti Sepanyol (59) dan Portugal (37).
Kanada pula merekodkan 15 kes serta manakala sembilan pesakit dikesan di Amerika Syarikat. -TVS