KUCHING, 26 Mei : Insiden ‘serangan buaya’ yang kian menggusarkan di negeri ini turut dibangkitkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, Kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) akan mempergiat usaha untuk menguruskan kelestarian populasi buaya liar yang semakin membimbangkan.
Katanya, SFC telah menyediakan Pelan Pengurusan Buaya Sarawak Fasa Pertama (2016-2020) dan diteruskan sehingga kini berdasarkan beberapa objektif utama.
“Antaranya, meneruskan usaha konservasi buaya liar, memperkasakan keharmonian antara manusia dan buaya untuk memastikan keselamatan penduduk setempat dan melaksanakan kajian terperinci tentang manfaat buaya secara lestari,” jelasnya.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II menambah, pengurusan buaya di Sarawak akan dimantapkan lagi dengan bantuan dan kerjasama daripada pakar-pakar buaya khas dari Australia, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat serta Crocodile Specialist Group dari International Union for Conservation of Nature (IUCN).
“Antara tindakan yang telah dan akan diambil termasuklah menambah bilangan santuari buaya di seluruh negeri bagi tujuan konservasi dan eko-pelancongan.
“Selain itu, kerjasama dengan pengusaha di ladang buaya, menambah bilangan Crocodile Removal Zone dan juga mengeluarkan permit menuai dan memburu bagi tujuan penuaian dan penakaian (culling),” katanya.
Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesahkan terdapat 36 mangsa kes serangan buaya di negeri ini sejak 2015 hingga Mei 2022. -TVS