KUCHING, 26 Mei : Kerajaan Sarawak komited menekankan pendidikan berkualiti dan menyediakan ekosistem yang menyeluruh untuk pembangunan modal insan di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan lima buah sekolah antarabangsa yang dibiayai oleh kerajaan negeri demi pendidikan berkualiti kepada rakyat .
Beliau berkata, sekolah antarabangsa yang pertama telah beroperasi pada Mac tahun ini.
“Pelaburan ini sangat penting kerana kita mahu memberi peluang kepada anak-anak Sarawak yang pintar, terutamanya di kawasan luar bandar,”katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Menurut Abang Johari , sekolah antarabangsa berkenaan akan menggunakan kurikulum Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) untuk membantu mengembangkan kemahiran pelajar membabitkan pemikiran kreatif dan penyelesaian masalah.
“Anak-anak inilah yang akan menjadi pemimpin dan pemikir masa depan,”katanya.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan Kerajaan Sarawak sentiasa menjalin kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan persekitaran pembelajaran dan pengajaran yang selamat dan kondusif.-TVS