Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa baki wang dalam akaun peribadinya mencukupi untuk membayar kad kredit miliknya tanpa menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB). Foto Bernama.

Wang saya cukup bayar kad kredit – Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 25 Mei : Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa baki wang dalam akaun peribadinya lebih daripada mencukupi untuk membayar kad kredit miliknya tanpa menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Ahmad Zahid, 69, berkata akibat kecuaian bekas setiausaha eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, wanita itu telah membayar kad kredit peribadinya menggunakan cek yayasan itu.

“Baki setiap bulan dalam akaun peribadi saya lebih daripada mencukupi untuk membayar kad-kad kredit peribadi saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguamnya Hamidi Mohd Noh semasa membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Kepada soalan Hamidi, mengapa Mazlina menggunakan cek YAB untuk menjelaskan bil kad kredit berkenaan, Ahmad Zahid berkata Mazlina telah melakukan kecuaian dengan membayar kad kredit menggunakan cek YAB.

“Mazlina dalam keterangannya di mahkamah sebelum ini juga mengakui telah melakukan kecuaian yang mana dia tidak tahu, tidak pasti dan tidak ingat berkenaan pengurusan bil-bil kad kredit,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dirujuk dengan baki wang dalam akaun Maybank miliknya antara 2014 hingga 2016 yang menunjukkan baki minimum sebanyak RM100,000 dan maksimum RM600,000 manakala bil kad kreditnya minimum RM600 dan maksimum RM215,000, dalam tempoh sama.

Pada perbicaraan sebelum ini, Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa Mazlina yang diamanahkan untuk menjaga akaun peribadinya dan YAB, melakukan pelbagai kecuaian antaranya gagal memahami dan membaca penyata kad kredit miliknya sehingga menyebabkan pembayaran kad kredit tidak mencukupi dan berlebihan.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana YAB untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan