Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Inflasi makanan meningkat lebih tinggi 4.1 peratus pada April -DOSM

Inflasi makanan meningkat lebih tinggi 4.1 peratus pada April – DOSM

ByElani Rosllan

KUCHING, 25 Mei : Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi April 2022 meningkat sebanyak 2.3 peratus kepada 125.9 berbanding 123.1 pada April 2021, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Dato Sri Dr Mohd. Uzir Mahidin berkata, kenaikan itu melepasi purata inflasi sebanyak 1.9 peratus bagi tempoh Januari 2011 hingga April 2022.

Katanya, inflasi makanan pada April pula meningkat lebih tinggi iaitu pada 4.1 peratus dengan 89.1 peratus item makanan bagi kumpulan makanan dan minuman.

“Peningkatan turut membabitkan restoran dan hotel pada kadar 3.2 peratus, pengangkutan (3.0 peratus), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah sebanyak 2.7 peratus.

“Bagi pelbagai barangan dan perkhidmatan, ia merekodkan tambahan 1.8 peratus. Turut meningkat ialah perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan sebanyak 1.3 peratus,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau memberitahu, sektor pendidikan turut tidak terkecuali apabila berlaku peningkatan sebanyak 1.0 peratus.

Seterusnya DOSM memaklumkan IHP bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain telah meningkat sebanyak 0.8 peratus manakala minuman alkohol dan tembakau serta kesihatan yang masing-masing secara marginalnya meningkat 0.5 peratus dan 0.2 peratus.

“Bagi pakaian dan kasut pula menurun 0.2 peratus manakala komunikasi tidak berubah,” katanya.

Mohd. Uzir memaklumkan, kenaikan inflasi makanan yang menjadi penyumbang terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP, kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.

“Peningkatan bagi kumpulan ini sebahagian besar berpunca dari kenaikan ketara komponen makanan di luar rumah pada April 2022 (4.4 peratus) berbanding April 2021 (4.0 peratus).

“Sementara itu, makanan di rumah, merujuk kepada bahan mentah bagi penyediaan makanan di rumah telah meningkat 4.1 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Berikutan musim perayaan yang lalu, kerajaan telah melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi Hari Raya Puasa 2022 yang bermula 26 April hingga 10 Mei 2022.

“Dengan pelaksanaan ini, ia dijangka akan meredakan inflasi bagi bulan Mei 2022 terutamanya bagi kumpulan makanan,” katanya.

Baca > > > Kadar Inflasi Malaysia masih rendah

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kesemua negeri menunjukkan peningkatan di mana peningkatan tertinggi dicatatkan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.1 peratus).

Bagi negeri yang menunjukkan peningkatan paling rendah pula adalah Pahang (1.6 peratus ) manakala Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (1.4 peratus). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan