KUCHING, 25 Mei: Sarawak menyasarkan untuk mengekalkan gelaran juara pada Para SUKMA kali ke-20 yang akan berlangsung pada tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sejak mula dianjurkan pada 1994, atlet orang kelainan upaya (OKU) Sarawak telah menjuarai Para SUKMA sebanyak 13 kali berturut-turut.
“Kementerian bertekad untuk mempertahankan kejuaraan Para SUKMA pada Oktober ini.
“Kita mahu mengekalkan Sarawak sebagai negeri kuasa sukan utama Malaysia,”katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Beliau memberitahu, menerusi inisiatif Unit Pembangunan OKU sejak 2018, statistik menunjukkan semakin ramai atlet OKU Sarawak telah dan dijangka akan mewakili Malaysia pada peringkat antarabangsa.
Sasaran diletakkan terhadap atlet OKU Sarawak itu menyusul selepas Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah baru- baru ini turut mengumumkan hasrat Sarawak untuk menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini. -TVS