Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Wartawan perlu peka berita palsu untuk elak kemudaratan

KUALA LUMPUR, 24 Mei : Penularan berita palsu yang semakin sukar dikawal hingga boleh mencetuskan huru-hara dalam kalangan rakyat merupakan antara cabaran yang dialami wartawan masa kini. 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin berkata justeru itu, wartawan perlu lebih peka dan merungkai kebenaran bagi mengelakkan sebarang kemudaratan kepada negara akibat maklumat yang tidak benar.

“Wartawan kena peka dengan cabaran berita palsu kerana ia boleh merosakkan apa yang telah kita bina selama bertahun-tahun. Itu kebimbangan saya, sebab itu kita kena bimbing wartawan muda mengenai fakta sebenar dan berpegang kepada prinsip asas kewartawanan.

“Selain itu netizen juga merupakan satu isu apabila semuanya nak jadi wartawan tetapi tak menerima latihan dan dididik dengan baik kerana mereka ingat jadi wartawan ini mudah, sekadar pandai menulis. Sebaliknya masyarakat kena sedar kepentingan sebagai wartawan adalah berpegang kepada fakta, kebenaran dan menyampaikan berita tepat,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia hari ini.

Program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu merungkai cabaran dunia kewartawanan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 yang akan berlangsung di Melaka, Ahad ini.

Roslan yang berpengalaman lebih 35 tahun dalam bidang kewartawanan berharap masyarakat terus menyokong karier wartawan dan tidak memandang negatif peranan mereka yang banyak menyumbang kepada proses pembinaan dan pembangunan negara.

Berkongsi mengenai HAWANA 2022, Roslan berkata ia dianjurkan antara lain bagi mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada wartawan profesional, individu atau organisasi yang telah memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya-karya dihasilkan.

Katanya HAWANA 2022 yang bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’ itu juga bakal menyaksikan Deklarasi Melaka diumumkan merujuk kepada pandangan dan hasrat wartawan serta aspirasi mereka terhadap Malaysia yang lebih makmur dan lebih bersatu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan