Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
seorang graduan Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini nekad menahan dan menumpang seorang penunggang motosikal untuk menghadiri upacara itu. Foto USM.

‘Terperangkap’ di Jambatan Pulau Pinang, graduan konvokesyen USM tumpang motosikal 

GEORGE TOWN, 24 Mei : Tersekat dalam kesesakan di Jambatan Pulau Pinang, seorang graduan Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini nekad menahan dan menumpang seorang penunggang motosikal untuk menghadiri upacara itu.

 R.Kevin, 28, berkata beliau bersama ibu bapanya keluar dari kediaman mereka di Seberang Jaya, dekat sini pada 6.30 pagi, namun mereka tidak menyangka berlaku kesesakan teruk dari tanah besar untuk ke pulau berikutan kemalangan di jambatan tersebut.

“Saya nekad keluar dari kereta bersama jubah konvokesyen kerana sudah panik sebab jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi dan bertindak menahan penunggang motosikal yang sudi tumpangkan saya untuk ke USM bagi menghadiri Upacara Konvokesyen ke-59 hari ini,” kata siswazah Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan itu.

Pemuda itu berkata dia amat terharu kerana masih ada insan yang baik hati sudi membantunya, bagaimanapun dia tidak sempat berbual panjang dengan lelaki itu kerana dalam keadaan tergesa-gesa.

”Namun saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada beliau, tanpa bantuan beliau saya mungkin tak sempat merasa naik ke pentas pada hari ini,” katanya.

Kevin berkata beliau turut gembira kerana ibu bapanya Rayappan, 62, dan Mary, 48, yang meneruskan pemanduan sempat tiba di USM untuk menyaksikan beliau menerima ijazah.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Universiti dan Sekretariat Upacara Konvokesyen Ke-59 USM menangguhkan sidang kelima hari ini selama 30 minit.

Upacara yang dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM Tan Sri Datuk Dr Zulkefli A. Hassan itu, yang sepatutnya bermula pada 10 pagi ditangguhkan ke 10.30 pagi bagi memberi masa kepada mereka yang terkesan dengan kesesakan itu. 

 Terdahulu tular gambar Kevin memegang jubah konvokesyen USM di atas Jambatan Pulau Pinang sambil mencuba nasib menahan penunggang motosikal yang sedang menghala masuk ke pulau.

Kesesakan teruk itu disebabkan kemalangan maut yang berlaku kira-kira 5.15 pagi membabitkan pemandu dan kelindan sebuah lori membawa sayur-sayuran dengan sebuah treler di Kilometer 8.6 Jambatan Pulau Pinang arah pulau. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan