KUCHING, 24 Mei: Setakat 2022, sebanyak 3,471 buah menara telekomunikasi siap dibina, manakala 1,043 lagi menara sedang dibangunkan secara berperingkat sehingga suku ketiga 2023.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, baki 2,486 buah menara baharu akan dibina dalam tempoh tahun 2025 sehingga 2030.
“Daripada jumlah 3,471 menara yang sudah siap dibina, 3,186 menara sudah beroperasi manakala 285 sedang dilengkapi dengan peralatan telekomunikasi dan siap beroperasi (on air) sepenuhnya penghujung tahun 2022. Untuk rekod, daripada 3,471 menara telekomunikasi yang beroperasi di Sarawak, sejumlah 584 menara telekomunikasi dibina oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan hari keenam, Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Ke-19, di sini hari ini.
Tambahnya Sarawak komited dalam menyediakan kemudahan internet kepada rakyat negeri ini.
Bagi mencapai hasrat tersebut, Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) telah mewujudkan dan melaksanakan inisiatif Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN).
Inisiatif ini merupakan langkah intervensi proaktif Kerajaan Sarawak untuk menyediakan kesalinghubungan di Sarawak sebagai pemangkin kepada ekonomi digital.
“Terdapat enam inisiatif utama SALURAN iaitu pembinaan 600 menara baharu yang dilengkapkan dengan peralatan telekomunikasi di bawah projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART), penyediaan kemudahan capaian jalur lebar WIFI SALURAN menggunakan teknologi satelit di 250kawasan yang tiada perkhidmatan telekomunikasi, perluasan khidmat SarawakNet melalui program Digital Socio-Economy ke 60 tapak di seluruh Sarawak.
“Perluasan liputan gentian optik sepanjang 130km di Sebauh, Bintulu melalui projek perintis Sebauh Rural High-Speed Open Broadband Network; Penyediaan Point of Interconnect (PoI) bagi menyediakan perkhidmatan Internet untuk sembilan (9) buah Taman Negara di Sarawak dan Pelaksanaan perkhidmatan jalur lebar tetap tanpa wayar melalui pakej Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN),” tambahnya.
Bagi melaksanakan inisiatif tersebut, kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM1.89 bilion. -TVS