KUCHING, 24 Mei : Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak menekankan empat strategi penting bagi membantu memperkukuh Bahasa Inggeris menerusi Program Dwibahasa (DLP).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn memaklumkan strategi ini termasuk menyediakan latihan berterusan kepada para guru untuk mengajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.
“Strategi seterusnya adalah menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi, pemantauan berterusan program DLP Sarawak serta melaksanakan campur tangan sekiranya perlu untuk memastikan kejayaan program.
“Seterusnya adalah membangunkan sistem sokongan untuk guru yang terlibat dalam DLP Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan oleh Para Menteri pada Hari Keenam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, di sini, hari ini.
Katanya, program DLP sering kali disalahertikan yang mana mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam kedua-dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris.
“Tanggapan ini salah kerana Sains dan Matematik perlu dikendalikan dalam Bahasa Inggeris sahaja manakala mata pelajaran Sejarah dan Geografi dalam Bahasa Melayu,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Sarawak kini berada pada tahun ketiga pelaksanaan program DLP Sarawak.
Setakat ini, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak telah menyediakan latihan meliputi semua guru yang mengajar Sains dan Matematik dari Tahun 1 hingga Tahun 2.
“Untuk tahun 2022, kami bekerjasama dengan IPG Batu Lintang dan JPNS dalam melaksanakan program DLP dengan mensasarkan guru sekolah rendah Tahun 3 yang akan bermula pada 14 Jun 2022, melibatkan seramai 650 guru.
“Selain itu, Kementerian saya juga telah menyediakan bahan tambahan untuk menyokong DLP Sarawak dengan menghasilkan Buku Panduan Guru dan Buku Aktiviti Murid,” jelasnya sambil menambah bahan-bahan berkenaan telah dihantar ke semua sekolah.-TVS