KUCHING, 24 Mei : Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak akan menganjurkan Borneo International Water and Wastewater Exhibition & Conference 2022 (BIWWEC 2022) pada 17 hingga 19 Oktober 2022 di Kuching.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, persidangan tersebut bertemakan ‘Sustainability & Resilience through Smart Technology and Innovation” dengan slogan “Splashing Solutions”.
Jelasnya, ia bertujuan untuk menerokai penyelesaian aktif dan usaha sinergi dalam mengatasi cabaran keperluan air dan air kumbahan.
“Dijangka seramai 300 peserta akan menghadiri persidangan ini dengan lebih kurang 30 pembentangan kertas kerja.
“40 gerai pameran juga disediakan untuk industry players air tempatan dan antarabangsa mempamerkan produk dan teknologi berkaitan,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan hari eenam, Mesyuarat Kedua bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Ke-19, di sini hari ini.
Sehubungan itu, kementeriannya akan terus berkolaborasi dengan institusi pengajian untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang kompeten dalam bidang elektrik, air, gas dan telekomunikasi.
Ia bagi memastikan tenaga mahir yang efisien dan penghasilan kerja yang berkualiti serta mengikut piawai yang ditetapkan. – TVS