KUCHING, 24 Mei : Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak menerusi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) akan memasang 40,000 smart meter di Bahagian Serian menjelang penghujung tahun ini.
Menterinya, Datuk Julaihi Narawi berkata pemasangan berkenaan adalah sebagai projek perintis di kawasan tersebut.
“Sebanyak 14,200 smart meter sudah dipasang di Daerah Bau, Asajaya, Simunjan dan Sebuyau pada tahun ini.
Manakala Lembaga Air Kuching (LAK) pula akan melaksanakan projek perintis sebanyak 2,000 unit smart meter di Perumahan Darul Hana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan oleh Para Menteri pada Hari Keenam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, di sini, hari ini.
Tambahnya, pemasangan smart meter kemudiannya akan diperluaskan pelaksanaannya kepada semua pengguna di kawasan liputan Lembaga Air Kuching (LAK).
Smart meter berkenaan menggunakan teknologi Narrow Band Internet of Things (NBIoT) dan frekuensi radio untuk penghantaran bacaan.
Sistem ini merangkumi integrated multi-information platform, iaitu, Command Centre yang berfungsi sebagai pusat komunikasi dan teknologi pintar untuk memantau infrastruktur bekalan air serta sistem rangkaian air. – TVS