KUCHING, 23 Mei: Kepadatan penduduk dan kesesakan lalu lintas waktu puncak merupakan antara isu yang membelenggu penduduk di Stakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N17 Stakan, Datuk Hamzah Brahim, mengakui penambahan penduduk memberi tekanan kepada kemudahan infrastruktur rakyat yang tidak dapat menampung peningkatan keperluan penduduk.
“Masalah utama yang membelenggu penduduk ialah kesesakan lalu lintas luar biasa, yang bukan sahaja berlaku di waktu puncak tetapi di luar waktu puncak.
“Perkara ini menimbulkan banyak rungutan di kalangan penduduk,” kata Hamzah dalam ucapan sulungnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Sarawak ke-19.
Jelasnya penduduk di Stakan kini mencecah 20,000 orang dan tidak termasuk kediaman kampung sedia ada.
Dalam masa yang sama, Stakan juga mengalami tekanan air rendah, selain isu banjir kilat setiap kali berlakunya hujan lebat.
“Justeru saya mohon supaya agensi-agensi yang terlibat dalam keputusan kelulusan projek perumahan atau kediaman serta bangunan komersial di kawasan Stakan, supaya melakukan kajian terperinci terutama berkenaan dengan aliran trafik, tekanan air dan juga banjir kilat yang berlaku,” tambahnya.
Beliau berharap agar agensi terbabit dapat mencari kaedah agar isu-isu tersebut tidak berterusan demi kesejahteraan rakyat di DUN berkenaan.
“Kita tidak mahu akibat kelemahan dari segi perancangan akhirnya rakyat yang menjadi mangsa,” jelas Hamzah. – TVS