Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan pulang dengan tangan kosong, selepas tewas kepada Indonesia 3-4, dalam penentuan sepakan penalti pada perlawanan merebut pingat gangsa saingan bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 semalam. Foto Bernama.

Sukan SEA : Saya minta maaf, kata Luqman Hakim

HANOI, 23 Mei : Penyerang muda negara Luqman Hakim Shamsudin memohon maaf atas kegagalan menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan penentuan gangsa antara Malaysia menentang Indonesia pada Sukan SEA ke-31, semalam.

Luqman Hakim dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua perlawanan di Stadium Nasional My Dinh, di sini, menjadi dua pemain yang gagal menjaringkan penalti, justeru menyaksikan pasukan negara tewas 3-4 dan pulang tanpa sebarang pingat.

Pemain berusia 20 tahun itu, yang berpangkalan di Belgium bersama kelab KV Kortrijk, berkata tiada individu yang lebih kecewa daripada dirinya selepas terlepas penalti tersebut dan beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan itu.

“Memang kecewa, saya amat kecewa dengan sepakan penalti saya, Malaysia bermain baik dengan serangan demi serangan tetapi penalti saya dan Hadi tidak dapat bantu Malaysia raih gangsa.

“Saya minta maaf pada rakyat Malaysia, ibu bapa saya, penyokong bola sepak tempatan dan semua pihak,” katanya.

Baca >>>  Sukan SEA : Malaysia kempunan pingat bola sepak, tewas penalti kepada Indonesia

Pemenang perlawanan itu terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 90 minit permainan sebenar.

Terdahulu, Ronaldo Joybera R Junior menjaringkan gol bagi Indonesia manakala Muhammad Hadi menyumbang gol buat pasukan negara. 

Pada babak penentuan itu, percubaan Luqman Hakim dan Muhammad Hadi diselamatkan penjaga gol Ernando Ari Sutaryadi, manakala bagi Indonesia hanya Asnawi Mangkualam Bahar gagal menyempurnakan sepakan penalti setelah rembatannya menggegar palang.

Sementara itu, Luqman Hakim mahu segera melupakan kekecewaan di sini dan berazam memperbaiki kelemahannya menjelang Kejohanan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada 1 hingga 19 Jun ini.

“Saya perlu bangkit daripada kekalahan ini untuk fokus kepada saingan di Uzbekistan sebab banyak perlawanan perlu ditempuh, jadi saya perlu letak tepi kekecewaan ini dengan cepat. Saya tidak akan berputus asa dan akan berikan terbaik di Uzbekistan,” kata pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Pada penampilannya di temasya dwitahunan itu, Luqman Hakim mengumpul tiga gol yang diraih dalam saingan Kumpulan B iaitu dua gol dijaringkan ketika berdepan Laos dan satu ketika menentang Singapura. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan