MIRI, 23 Mei : Korea Selatan berminat untuk melabur di Sarawak setelah Rang Undang-Undang Hutan (RUU) (Pindaan) 2022 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 19 Mei lalu diluluskan.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pindaan RUU tersebut telah berjaya menarik pelabur dari luar negara untuk melabur dalam teknologi tenaga yang boleh diperbaharui di Sarawak.
“Apabila sudah diluluskan RUU di DUN, esok harinya Korea Selatan terus minat untuk melabur di Sarawak,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Amanah kebajikan Melayu Miri di sini semalam.
Tambahnya dari segi geologi, Sarawak antara kawasan yang mempunyai kapasiti besar dalam menyimpan karbon di dunia selain berpotensi bagi penanaman alga untuk bahan bakar bio.
“Sarawak merupakan antara kawasan yang boleh menyimpan karbon di dunia, selain dari mempunyai potensi pengeluaran alga yang mana akan apabila alga dicampur dengan karbon dioxide maka ia akan mengeluarkan biofuel,” katanya.
Teknologi tenaga yang boleh diperbaharui yang dipekenalkan oleh Korea Selatan dan juga China itu nanti akan mendapat mengeratkan hubungan diplomatik Sarawak dengan kedua-dua negara tersebut.
Teknologi baharu yang diperkenalkan oleh kedua-dua negara itu katanya menghasilkan tenaga yang boleh diperbaharui dan secara tidak langsung dapat membantu melawan perubahan iklim dunia.
“Sarawak ada mengeluarkan solar yang baharu di Samajaya melalui syarikat Longi yang mana selnya diselaputi minyak kelapa sawit dan semuanya boleh digunakan termasuk biomas,”katanya. -TVS