KUALA LUMPUR, 23 Mei : Eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dihentikan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketetapan itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet hari ini sebagai langkah jangka pendek kerajaan terhadap isu bekalan serta harga ayam.
Ismail Sabri berkata selain itu kerajaan turut memutuskan untuk mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi.
Turut diputuskan adalah memansuhkan Permit Import (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan dan mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam.
Sebagai langkah jangka pendek mesyuarat Kabinet hari ini juga membuat ketetapan menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam, kata Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.
“Kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar. Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada Jun.
“Jika didapati wujud kesepakatan kartel itu, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan dalam masa sama akan mengurangkan peranan orang tengah yang memanipulasi bekalan dan harga serta akan memperkenalkan semula jihad memerangi orang tengah yang diperkenalkan pada 2014 dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberi peranan untuk mengetuai jihad itu.-TVS