MIRI, 23 Mei : Bandar raya ini dilihat mempunyai potensi untuk terus berkembang berikutan kegiatan ekonominya yang semakin rancak, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sebagai bandar raya kedua terbesar di Sarawak, Abang Johari berkata, Miri juga kaya dengan sumber petroleum yang menarik minat syarikat minyak dan gas terkemuka memindahkan ibu pejabat mereka ke negeri ini.
Katanya kedudukan Miri juga sangat strategik yang menjadi daya tambah kepada pertumbuhan pesatnya.
“Di sini, terdapat lebih 2,000 kakitangan Shell yang dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi kerana mempunyai kuasa membeli yang tinggi,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) yang dihadiri kira-kira 300 orang di sini malam tadi.
Abang Johari yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar berkata, beliau yakin langkah Shell bertapak di Miri juga akan menarik syarikat gergasi dalam industri sama untuk berpusat di sini,
“Ini menunjukkan pelabur yakin dengan Sarawak dan Bandar raya Miri,”katanya.
Pada masa hadapan, Abang Johari berkata, beliau meramalkan industri minyak dan gas di sini akan terus berkembang disebabkan kestabilan politik di Sarawak.
“Ini diperkukuhkan lagi dasar kerajaan negeri yang mesra perniagaan, hospitaliti serta penerimaan baik di kalangan masyarakat setempat,”katanya.
Sempena sambutan semalam, syarikat korporat, Samling Strategic Corporation Sdn. Bhd. menyumbang RM 15, 000 manakala Naim Holdings Berhad  turut menyerahkan RM 50,000 kepada LAKMM untuk penganjuran pelbagai aktiviti.-TVS