LAWAS, 23 Mei : Dua sekeluarga hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka ranap dalam kebakaran di Kampung Seberang Kedai, Trusan di sini, malam tadi.
Insiden kira -kira jam 8.30 malam itu menyebabkan kediaman mangsa jenis kekal dan separuh kekal musnah 100 peratus.
Ketua Balai dan Penyelamat (BBP) Lawas, Penolong Penguasa Bomba Azman Ibrahim berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.33 malam.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, api masih marak. Kami terpaksa mencari sumber air terbuka dari anak sungai yang berhampiran berikutan tiada pili bomba di lokasi kejadian.
“Operasi pemadaman diteruskan dengan menggunakan pam angkut GP 10/10, 300 kaki, satu cabang pembahagi dan dua pancutan dari sumber air terbuka,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan ketika kejadian kesemua mangsa sedang berehat di dalam rumah itu sebelum sempat keluar untuk menyelamatkan diri.
Azman berkata, api dapat dikawal pada 9.54 malam dan pasukan bomba melakukan pemantauan susulan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum operasi berakhir pukul 10.48 malam.
Operasi turut dibantu Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Energy. Sementara, jumlah kerugian dan punca kejadian masih kejadian masih dalam siasatan. – TVS