MIRI, 23 Mei : Bukan sekali malah sudah kerap seorang pemuda bertindak di luar kawalan apabila mengugut mahu membunuh ibu kandungnya.
Dalam kejadian terbaharu semalam di sebuah restoran di bandar ini, suspek berusia 22 tahun itu sekali lagi melakukan perkara sama apabila menghantar ugutan melalui pesanan suara ke telefon bimbit ibunya pada pukul 1.20 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, akibat tidak tahan dengan kelakukan anaknya, wanita itu akhirnya tampil membuat laporan polis.
“Suspek ditahan pada pukul 4.50 petang semalam untuk membantu siasatan,”katanya ketika dihubungi.
Beliau memberitahu, berdasarkan laporan, wanita itu mendakwa setiap kali marah dan mengamuk, anaknya akan mengugut mahu membunuhnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,”katanya. -TVS