KUCHING, 22 Mei : Kerjasama semua pihak diperlukan untuk memastikan anak muda tidak mudah terpengaruh dengan anasir buruk yang disebarkan menerusi media sosial.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pengaruh negatif yang dibawa oleh media sosial ketika ini menjadi perkara penting yang perlu ditangani segera.
“Tidak perlu terpengaruh dengan media sosial dan kalau kita dapat elakkan perkara ini, InsyaAllah , usaha membina jati diri yang baik di kalangan anak – anak kita boleh dilakukan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Sarawak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PPIM Sarawak, Dr Asmah Othman.
Sementara itu, Sharifah Hasidah berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada PPIM Sarawak untuk menganjurkan program yang boleh membentuk jati diri di kalangan generasi muda di negeri ini.
“Sehubungan itu, saya berbesar hari menyerahkan dana berjumlah RM10 000 kepada PPIM Sarawak bagi memastikan segala aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan,”katanya.
Sementara itu, Asmah berkata, pada tahun ini pihaknya menyasarkan pertambahan ahli berdaftar sebanyak 10 peratus melalui Kempen Tambah 10 Peratus yang akan dilaksanakan.
“Sejak bertapak di Sarawak kira – kira 22 tahun lepas, PPIM terus berkembang dengan melaksanakan pelbagai aktiviti pengukuhan jati diri untuk puteri -puteri Islam kita,”katanya.
Beliau turut memberitahu, ketika ini, PPIM Sarawak mempunyai lima unit kecil dan setiap satu daripadanya diberi tanggungjawab melaksanakan program berdasarkan fokus yang telah dikenal pasti. -TVS