KUCHING, 22 Mei : Seramai 250 usahawan kecil dan sederhana tempatan berjaya dibantu melalui program yang dianjurkan oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS).
Pengerusinya, Datu Len Talif Salleh berkata, melalui pelbagai program yang dijalankan di hub itu sejak 2017, beliau percaya TEGAS berada di landasan yang betul untuk menyokong usaha kerajaan ke arah ekonomi digital.
“Ini juga merupakan salah satu sebab mengapa kami ditugaskan untuk menubuhkan TEGAS Digital Village – yang akan memudahkan pemindahan teknologi dan pengkomersilan serta mempercepatkan pertumbuhan syarikat pemula melalui perkongsian awam dengan swasta.
“TEGAS Digital Village juga dikaitkan dengan pelbagai hab inovasi digital di Sarawak termasuk di Betong, Sarikei, dan Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Juh Digital Bootcamp And Tegas Startup Lab x Social Impact Accelerator Demo Day semalam.
Juh Digital Bootcamp merupakan sebuah program pemasaran digital yang diadakan secara maya yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
Program tersebut bertujuan untuk memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro serta usahawan belia dengan kemahiran digital.
“Kami menyasarkan seramai 200 usahawan belia dan PKS dari seluruh Sarawak akan mendaftar untuk sidang pertama ini.
“Pada akhir program, peserta akan mendapat pendedahan bagaimana mereka boleh memanfaatkan penggunaan digital untuk meluaskan pasaran mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman www.juhdigital.my. – TVS