SERIAN, 21 Mei : Sarawak menyasarkan untuk muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) kali ke-20 pada tahun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau yakin misi itu mampu dicapai selepas melihat prestasi cemerlang atlet-atlet Sarawak yang mewakili negara pada Sukan SEA Hanoi ketika ini.
Katanya, atlet Sarawak berjaya menyumbang emas kepada Malaysia selain turut menamatkan kedudukan podium pada temasya dwitahunan itu.
“Kerajaan negeri akan memberi insentif kepada atlet-atlet yang berjaya.
“Setakat kita memberi tumpuan dan sedang membuat persiapan rapi dengan harapan Sarawak akan menjadi juara SUKMA kali ini,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas menghadiri Program Serian Bike Week 2022 di sini hari ini.
Pada Sukan SEA kali ini , beberapa atlet Sarawak yang menyumbang emas ktermasuklah Jackie Wong dan Grace Wong bagi acara olahraga manakala Dato Pandelela Rinong unggul dalam acara terjun.
Sarawak pernah muncul juara SUKMA sebanyak tiga kali iaitu pada 1990, 1992 dan kali terakhir 1994 ketika di Perak.
Sementara itu, program itu, Abdul Karim berkata, setelah dua tahun tidak diadakan ekoran pandemik COVID-19, sambutan dilihat sangat memberansangkan. -TVS