KUCHING, 21 Mei : Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.
Menyatakan keyakinan itu, Presidennya, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, SUPP bakal mempertahankan tujuh kerusi parlimen tradisi milik parti berkenaan.
Katanya , mengambil kira beberapa faktor temasuk situasi di Kuala Lumpur yang menyaksikan sering berlaku ‘pergaduhan’, tidak mengejutkan sekiranya PRU15 diadakan pada tahun ini.
“SUPP bersedia untuk kesemua tujuh kerusi tradisi dan Timbalan Presiden kita, Dato Sri Richard juga sentiasa bersedia di Serian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Tahunan (TDC) SUPP ke-25 yang dirasmikan oleh Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Tujuh kerusi yang mempunyai sejarah dengan SUPP ialah Parlimen Sibu, Lanang, Miri, Serian, Bandar Kuching, Stampin dan Sarikei.
Sementara itu, Dr. Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah memaklumkan, wakil-wakil rakyat SUPP di kawasan masing-masing sering turun padang menyantuni rakyat selepas kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak tahun lepas.
Mengulas mengenai TDC ke-25 itu, Dr. Sim berkata, peralihan yang lancar telah pun dilaksanakan di 50 cawangan dengan gabungan pelbagai kepimpinan cawangan baharu dan veteran.
Namun begitu tegasnya, parti tersebut kekal dengan impian serta aspirasi yang sama seperti Bapa Pengagas mereka, 63 tahun lepas.
“Ini tanpa mengira sama ada kepimpinan baharu atau veteran, ahli parti lama atau baharu,” ujarnya lagi. – TVS