SIBU, 21 Mei : Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki mencuri kabel dan wayar tembaga milik sebuah syarikat telekomunikasi.
Barang itu dipercayai dicuri oleh suspek di pencawang Sacofa di Lorong Lada 13, dekat sini sekitar pukul 12.45 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, suspek gagal mengemukakan bukti pemilikan barangan berkenaan ketika diperiksa oleh anggotanya.
“Polis percaya kesemua barangan itu dicuri oleh suspek.
“Susulan itu rampasan dilakukan terhadap kesemua barangan itu serta sebuah motosikal yang ditunggang oleh suspek untuk membawa beberapa alat pemotong besi yang dipercayai digunakan untuk memotong kabel berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Zulkipli memberitahu, suspek turut mempunyai rekod jenayah berkaitan kes curi dan penyalahgunaan dadah.
Katanya suspek telah direman selama tiga hari sehingga 23 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. -TVS