KUCHING, 20 Mei : Anak muda Sarawak boleh memohon pinjaman daripada Yayasan Sarawak untuk mengikuti kursus pemandu pelancong.
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Hii Chang Kee berkata, inisiatif itu ditawarkan oleh kementerian yang bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan lain untuk menggalakkan golongan muda menyertai bidang berkenaan.
Katanya, kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi pemandu pelancongan yang terjejas teruk selama dua tahun ekoran pandemik COVID-19.
“Oleh itu kementerian ingin membantu mereka yang hilang mata pencarian untuk bangkit semula,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penutup Program Peningkatan Pasca COVID-19 semalam.
Program itu memberi fokus kepada pemandu pelancong tempatan termasuk mereka yang bertugas di Kampung Santubong.
Seramai 90 peserta berjaya menamatkan kursus dua hari bermula 17 Mei diraikan pada majlis ini.
Chang Kee memberitahu, menerusi kerjasama dengan Yayasan Sarawak, anak muda di negeri ini yang berumur di bawah 35 tahun boleh memohon pinjaman berkenaan.
“Inisiatif ini bukan sahaja melibatkan pemberian pinjaman malah elaun bulanan turut diberikan kepada mereka yang berminat untuk belajar,”katanya. -TVS