Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bahagian Kapit diberi penghormatan untuk menganjurkan sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah peringkat negeri pada 5 dan 6 Jun ini.

Kapit tuan rumah ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Agong

KUCHING, 20 Mei : Bahagian Kapit diberi penghormatan untuk menganjurkan sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah peringkat negeri pada 5 dan 6 Jun ini.

Menteri di Pejabat Premier Sarawak, Datuk John Sikie berkata, sambutan itu akan berlangsung di Kapit Town Square.

Katanya, tetamu kehormat yang dijangka hadir ialah Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

“Acara kemuncak pada sambutan kali ini adalah persembahan dramatari berjudul Lagenda Menghin dan Tinchin Temaga.

“Kisah lagenda Iban ini berkisar tentang percintaan antara seorang manusia bernama Menggin dengan Dewi Tinchin Temaga akan dipersembahkan pada 6 Jun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur sambutan berkenaan di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol dan Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya.

John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus menambah, Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka bukanlah sekadar cuti umum.

“Sambutannya adalah supaya rakyat Malaysia dapat menghayati serta menghargai kedaulatan sebuah negara bernama Malaysia yang mengamalkan Sistem Raja Berperlembagaan.

“Selain itu, Seri Paduka juga merupakan payung negara, lambang permuafakatan dan kedaulatan kerana Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mempunyai Sistem Raja Berperlembagaan yang unik,” jelasnya.

KAPIT TUAN RUMAH SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN AGONG

John Sikie memberitahu, masyarakat Kapit akan turut dihiburkan dengan sebuah persembahan menarik iaitu tarian Ngajat Pua Kumbu sebagai pembuka tirai dan Konsert Simfoni diiringi orkestra yang menampilkan penyanyi-penyanyi tempatan Sarawak.

“Dianggarkan lebih 500 pengunjung akan memeriahkan sambutan pada 5 Jun manakala pada malam kemuncak iaitu 6 Jun pula, lebih 1,000 orang akan hadir dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan