SIBU, 20 Mei : Seorang kanak – kanak berusia tiga tahun merupakan antara 13 yang maut akibat jangkitan rabies di sini bagi Januari hingga 19 Mei lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu, Wong Hee Sieng berkata, daripada angka itu, sebanyak tujuh kematian direkodkan di Sibu, Selangau (empat) dan dua di Kanowit.
Katanya, majoriti kes kematian berlaku di luar bandar iaitu sebanyak 12 kes atau 92 peratus.
“Terdapat mangsa berumur di bawah 12 tahun, iaitu seorang berusia 11 tahun dan seorang lagi berusia tiga tahun yang merupakan mangsa termuda,” katanya menerusi kenyataan media semalam.
Beliau memberitahu, jumlah kematian tertinggi pula terdiri daripada mangsa yang berumur 31 tahun ke atas iaitu seramai lapan orang dengan yang paling tua berusia 64 tahun.
Menurutnya, seramai 12 orang dipercayai maut kerana digigit anjing yang tidak menerima vaksin anti rabies.
“Kita juga mengesan satu kes kematian akibat digigit anjing peliharaan yang divaksin tetapi dibiarkan berkeliaran di luar rumah oleh pemiliknya,” jelasnya.
Ujarnya, kesemua 13 mangsa kematian didapati tidak mendapat rawatan sewajarnya selepas digigit anjing.
Wong berkata kematian akibat rabies boleh dicegah dengan mengamalkan langkah pencegahan dan kawalan seperti yang disarankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu. -TVS