Jones dan Amastasia bergambar bersama Fatimah dan Lorenzo Isaac, wartawan TVS yang membongkar kisah kehidupan mereka di Kuching tanpa kad pengenalan pada Januari lepas.
Jones dan Amastasia bergambar bersama Fatimah dan Lorenzo Isaac, wartawan TVS yang membongkar kisah kehidupan mereka di Kuching tanpa kad pengenalan pada Januari lepas.

Hadiah Hari Gawai yang bermakna, kehidupan di Kuching tidak lagi berteman ketakutan

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 20 Mei : “Terima kasih Dato Sri Fatimah Abdullah, terima kasih banyak….”

Itu ucapan penghargaan oleh dua adik beradik setelah permohonan mereka untuk memiliki MyKad akhirnya diluluskan selepas penantian panjang hampir hampir dua dekad.

Kisah Amastasia dan Jones Bejie yang tidak mempunyai kad pengenalan dan hidup dalam ketakutan di bandar raya ini sebelum ini pernah disiarkan secara esklusif oleh TVS pada 21 Januari lalu.

Berita berkenaan mendapat pelbagai reaksi yang majoriti bersimpati kerana mereka hidup seperti pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri sendiri walaupun hakikatnya dilahirkan di Sri Aman.

Jones ,26 , yang hanya memiliki sijil lahir sebelum ini berkata, kesabarannya selama ini berakhir dengan ‘nota gembira’.

“Saya dan adik sudah menunggu lebih sepuluh tahun.

“Saya sangat kagum dengan usaha Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah yang mengotakan janji beliau untuk membantu kami mendapatkan kad pengenalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Baca >>>  Penderitaan dan ketakutan dua beradik hidup tanpa ‘IC’ di Kuching

Baca >>>  Tiada kad pengenalan, Amatasia dan Jones akan dibantu oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti

Bagi Amastasia, 23, pula, penyerahan kad pengenalan hari ini merupakan hadiah Hari Gawai Dayak yang paling bermakna dalam hidupnya.

“Saya menangis apabila diberitahu tentang kelulusan dan dipanggil menerima kad pengenalan hari ini.

“Saya tidak sangka Fatimah (Dato Sri Fatimah Abdullah) berjaya selesaikan masalah yang membelenggu kami sejak sekian lama,” katanya sambil mengesat air mata.

Setiap hari, langkah mereka untuk keluar bekerja sentiasa bertemankan perasaan bimbang yang tidak berkesudahan.

Setelah kisah mereka disiarkan TVS, Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menyatakan komitmen untuk membantu dua beradik itu.

Fatimah (kanan) menyerahkan kad pengenalan kepada Jones dan Amastasia di pejabatnya di sini hari ini.

Fatimah berkata, beliau gembira kerana berjaya membantu Amastasia dan Jones.

“Mereka ucapkan terima kasih kerana dapat kad pengenalan, saya beritahu, sebenarnya bukan mereka berdua sahaja tetapi ramai lagi yang dibantu.

“Sebenarnya , Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu selidik pelbagai perkara sebelum memberikan taraf kewarganegaraan.

“Penyelidikan itu yang mengambil masa, kadangkala cepat, kadang-kadang lambat,”katanya pada sidang media ketika majlis penyerahan surat berkenaan kepada dua beradik itu di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Jones, ketika berusia 12 tahun, ibu dan bapa saudaranya membawanya ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk membuat kad pengenalan namun berasa hampa kerana permohonan ditolak.

Setelah menginjak dewasa,mereka ‘lari’ ke bandar raya ini untuk memulakan kehidupan baharu.

Mereka bersyukur kerana diberi peluang pekerjaan oleh majikan yang prihatin namun perasaan takut tidak pernah luntur.

Ketika ditanya perancangan selepas ini, kedua-dua adik beradik memberitahu, mereka teringin untuk melancong di luar Sarawak.

Jones berkata, rakan-rakannya pernah mengajak bercuti ke Sabah namun kerana tiada kad pengenalan, dia terpaksa menolak dan memberi pelbagai alasan.

“Saya juga ingin mendaftar untuk mendapatkan lesen motosikal dan membawa adik bersiar -siar di Kuching, tidak perlu menempah Grab lagi,”katanya.

Amastasia pula memberitahu, dia ingin untuk membawa ahli keluarganya ke Kuala Lumpur.

“Saya berasa cemburu apabila mendengar cerita kawan yang bercuti di ibu negara.

“Sebelum ini, saya hanya ‘melancong’ dengan melihat gambar dan menonton video sahaja,”katanya.

Turut mahu dilakukan oleh Amastasia ialah membuka akaun bank atas namanya sendiri.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan