KUCHING, 20 Mei: Jabatan Hutan Sarawak telah melaksanakan dasar baharu yang membolehkan para pelesen memasarkan kayu balak serta produk berasaskan kayu di kawasan lesen masing-masing tanpa sekatan ke pasaran antarabangsa.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Len Talif Salleh berkata, langkah itu dilaksanakan di bawah Dasar Pengurusan Pensijilan melalui penubuhan Unite Pengurusan Hutan (FMU).
Katanya, mereka juga akan memperolehi harga yang premium kerana kayu balak dan produk berasaskan kayu yang dikeluarkan adalah daripada sumber yang sah serta kawasan yang diurus secara mampan.
“Pencapaian status pensijilan ini membuktikan pengurusan hutan yang dilaksanakan oleh pelesen telah memenuhi kriteria yang ditetapkan mengikut piawaian Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Tambahnya, dasar tersebut juga akan meningkatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak lesen terbabit melalui penyediaan kemudahan asas seperti menaik taraf jalan dan bantuan kepada komuniti setempat.
Selain itu, katanya, manfaat lain adalah ia dapat meningkatkan penyertaan dan kemahiran komuniti melalui pelbagai program dalam pensijilan hutan.
“Antara program yang dianjurkan seperti ‘Awareness Programme for Forest Management Certification’, ‘Training on High Conservation Value’ dan sebagainya dengan kerjasama Sarawak Timber Association (STA), Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak pelesen,” katanya. – TVS