KUCHING, 20 Mei : Sebanyak sembilan buah menara telekomunikasi yang sedang dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan dijangka siap pada hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Utiliti, Datuk Liwan Lagang berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di bawah Projek Telekomunikasi Luar Bandar atau SMART.
“Ketika ini kerja – kerja pemasangan peralatan telekomunikasi pada menara sedang giat dilaksanakan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Terdahulu, Rolland Duat Jubin(GPS-Meluan) ingin tahu perkembangan kerja – kerja menaik taraf perkhidmatan telekomunikasi di kawasannya.
Liwan memberitahu, kesemua menara itu dibina di bawah fasa satu.
Sementara itu beliau turut memberitahu sidang DUN sebanyak 29 lagi menara dijadual siap pada tahun depan.
“Dua dijangka akan mula beroperasi pada suku kedua 2023.
“Sebanyak 27 menara lagi yang dibina di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Malaysia pula dijangka dapat beroperasi pada suku ketiga tahun depan,”katanya. -TVS