Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lo Khere Chiang membidas Chong Chieng Jen menerusi sidang media di luar DUN Sarawak hari ini. Foto Faitullah Morni.

DUN Sarawak : PH dan DAP tiada kredibiliti kata Khere Chiang

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 20 Mei : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang ‘memanaskan’ luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak apabila membidas ADUN DAP Padungan, Chong Chieng Jen yang ‘mempertahankan’ bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung isu Sarawak akan muflis dalam masa tiga tahun.

Menerusi sidang media di DUN, Khere Chiang menjelaskan, Sarawak mempunyai rizab yang kukuh sebanyak RM29 bilion pada hari ini berbanding Pulau Pinang yang dakwanya hanya mempunyai rizab sekitar RM1.82 bilion pada 2020.

Katanya, kenyataan Chieng Jen semalam dalam DUN bahawa Sarawak tidak lagi berdepan risiko kewangan kerana Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah membatalkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri ini tidak berasas.

Baca >>>  Sekejap bakal bankrap, sekejap ada duit untuk belanja, Sarawak nang steady!

“Sebenarnya anggaran kos bagi projek jaringan rel pengangkutan awam yang kita rancang itu sekitar RM6 bilion berbanding projek terowong dasar laut di Pulau Pinang yang mencecah RM6.3 bilion.

“Berdasarkan analogi ini, Pulau Pinang yang akan terlebih dahulu bankrap dan bukannya Sarawak,” katanya di sini hari ini.

Pada 2019 ketika hadir satu acara di negeri ini, Guan Eng mengatakan Sarawak akan muflis sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus diberi mandat untuk mentadbir.

Mengulas lanjut, Khere Chiang berkata, Chieng Jen dan Guan Eng perlu memohon maaf kepada rakyat Sarawak kerana memandang rendah negeri ini selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Kerajaan Persekutuan serta membatalkan beberapa projek kesejahteraan rakyat.

“PH mengurangkan tiga proposal projek jambatan di Sarawak yang menelan kos jutaan ringgit malah mereka turut kurangkan peruntukan memotong rumput sebanyak RM1 juta kepada RM900 dari Kuching ke Lawas. Siapa Menteri Kewangan ketika itu? Lim Guan Eng dari DAP,” katanya.

Tindakan itu menurut Khere Chiang menunjukkan DAP tidak berminat dengan Sarawak dan sepanjang 22 bulan pentadbiran mereka, pelbagai projek kecil dan besar di negeri dibatalkan.

PH DAN DAP TIDAK BERKREDIBILITI – KHERE CHIANG

“Janji yang dibuat untuk mengiktiraf dan mengembalikan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 tidak ditunaikan dan alasan yang diberikan mereka ialah manifesto bukan kitab suci,” katanya.

Beliau menambah, ‘dasar’ PH dan DAP itu menunjukkan mereka tidak mempunyai kredibiliti.

“Nasihat saya kepada Chieng Jen, Guan Eng dan DAP Malaysia ialah supaya mereka tunaikan janji yang dibuat kepada rakyat Sarawak sebelum menjejak kaki ke negeri ini lagi,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan