Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

DUN Sarawak : Lima lagi tuntutan di bawah MA63

ByOdleen Catherny

KUCHING, 20 Mei : Kerajaan Sarawak masih mempunyai lima lagi tuntutan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perkara-perkara berkenaan ketika ini berada di peringkat perbincangan.

Beliau memberitahu, antara tuntutan berkenaan termasuk isu pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, cadangan pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) sebagai jabatan teknik di bawah arahan perbendaharaan 182.

“Tuntutan ketiga ialah cadangan pertambahan bilangan ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.

“Keempat, cadangan keahlian wakil kerajaan Sarawak dalam Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kelima perbincangan mengenai formula semakan pemberian khas di bawah Perkara 112, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ibrahim Baki (GPS – Satok) berhubung baki tuntutan yang belum selesai di bawah MA63 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sharifah Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus mengadakan perbincangan dan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan tuntutan negeri ini dapat diselesaikan dengan jayanya.

“Sebagai contoh bagi tuntutan keahlian dalam LHDN, kita telah mengemukakan cadangan calon ahli untuk mewakili kerajaan negeri.

“Ini penting supaya Sarawak mengetahui kedudukan kewangan negara. Selain itu, ia juga membantu usaha kita dalam perbincangan dan rundingan berkenaan pemberian khas di bawah perkara 112 D Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri masih belum lagi menerima maklum balas mengenai perkara itu.

LIMA LAGI TUNTUTAN DI BAWAH MA63

Sementara itu, beliau turut menjelaskan selain daripada Pindaan kepada Perkara 1 (2) 160 (2) 161 (a) (6) & (7) Perlembagaan Persekutuan, Sarawak telah mengemukakan cadangan pindaan kepada peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Sarawak telah mencadangakan Pindaan kepada senarai perundangan di bawah Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan untuk memindahkan pelancongan daripada butiran 25(a) dalam Senarai Persekutuan kepada sebagai salah satu butiran dalam senarai tiga iaitu Senarai Bersama,” ujarnya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan