KOTA KINABALU, 20 Mei : Kerajaan telah mengenal pasti 10 lokaliti di Sabah yang dikategorikan sebagai daerah miskin tegar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, satu sesi libat urus akan diadakan bersama kerajaan negeri bagi memudahkan perlaksanaan Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).
Ujarnya, kerajaan sedang mengadakan sesi libat urus secara menyeluruh bagi mendapatkan input terbaik untuk mengatasi masalah ini.
“Fasa pertama program BMTKM akan melibatkan 10 lokaliti di Sabah yang telah dikenal pasti sebagai daerah Tongod, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Nabawan, Tuaran, Sipitang, Beaufort dan Ranau.
“Sehubungan itu, program tersebut akan dilaksanakan secara silo di hampir semua agensi yang terbabit di Sabah,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. – TVS