KUCHING, 19 Mei: Perenang muda, Khiew Hoe Yean mencipta sensasi apabila menyumbang empat pingat kepada negara pada Sukan SEA Ke-31, Hanoi yang sedang berlangsung.
Bakal berusia 20 tahun pada September ini, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu memberi petanda bahawa dia sebagai calon perenang harapan negara apabila mempamerkan aksi cemerlang dengan meraih satu pingat emas dan tiga pingat perak menerusi acara renang yang disertainya.
Baca > > > Sukan SEA : Hoe Yean cipta sensasi ungguli 200M gaya bebas
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut meluahkan rasa bangga dengan pencapaian perenang muda itu.
“Ini pingat emas pertama dalam acara kegemarannya iaitu 200 meter (m) gaya bebas lelaki,” tulis MOM menerusi hantaran di Facebook.
Hoe Yean menamatkan saingan dengan catatan 1:47.81 saat, manakala Welson Sim mencatatkan masa 1:50:63 s dengan kedudukan keenam pada acara itu semalam.
Pingat dimenangi remaja berkenaan merupakan emas ke-27 negara pada temasya kali ini.
Sementara itu, tiga pingat perak yang dirangkulnya adalah menerusi acara 200m kuak lentang lelaki, 400m gaya bebas lelaki serta 4x200m gaya bebas.
Bagi acara 4x200m gaya bebas, dia bersama Welson, Lim Yin Chuen dan Arvin Shaun Singh Chahal turut memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan masa 7:19:75s pada Selasa lepas.
MOM turut mengucapkan semoga maju jaya kepada Hoe Yan bagi acara terakhir yang akan disertainya iaitu acara 800 meter (m) gaya bebas lelaki. – TVS