KUCHING, 19 Mei : Penganjuran rumah terbuka sempena sambutan Hari Gawai di Sarawak pada tahun ini adalah dibenarkan.
Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) memaklumkan, aktiviti ziarah atau ngabang turut digalakkan sempena perayaan berkenaan.
Namun demikian, orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol sambutan Hari Gawai yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Bagi sambutana Pra Gawai, orang ramai digalakkan memakai pelitup muka ketika tidak menjamu selera manakala bagi individu yang bergejala dan tidak lengkap vaksinasi, mereka tidak digalakkan untuk menyertai sambutan itu,”jelas UNIFOR menerusi kenyataan media hari ini.
Bagi sembahyang di rumah ibadat pula, aktiviti berkenaan dibenarkan menggunakan 100 peratus kapasiti ruang dengan memakai pelitup muka sekaligus mengelak 3S (crowded, confined, close).
“Sebaliknya orang ramai dinasihatkan mengamalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), sangat digalakkan memakai alat topeng muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan amaran (warn),”kata kenyataan itu.-TVS