MIRI, 19 Mei : Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) mengadakan kunjungan hormat bertemu Ketua Polis Daerah (KPD) Miri yang baharu, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu di pejabatnya hari ini.
Kunjungan itu diketuai oleh presidennya, Andy Jong Wan Joon, bertujuan untuk mengeratkan hubungan membabitkan pihak media di Miri dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan.
Kunjungan tersebut juga adalah bagi meninjau peluang kerjasama membabitkan kedua -dua organisasi.
Alexon Naga berkata, pihaknya juga bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak media terutamanya dalam membantu menyampaikan maklumat jenayah kepada masyarakat.
Pada majlis itu juga, Alexson turut berkongsi kes seorang lelaki ditemui meninggal dunia dipercayai terjatuh dari bangunan Pusat Komersial Boulevard Miri pada pagi tadi.
Katanya, kejadian pada pukul 9 pagi itu masih dalam siasatan untuk mengenal pasti identiti mangsa serta punca kematian.
“Pada masa ini, kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,”katanya.
Beliau memberitahu, mayat dihantar ke Hospital Umum Miri untuk tindakan lanjut. -TVS