TANJUNG MANIS, 19 Mei : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Manis menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C kerana disyaki menangkap ikan pada jarak yang tidak dibenarkan.
Bot itu ditahan pada kedudukan kira-kira lima batu nautika dari barat laut Kuala Paloh, Sarikei pada pukul 5.40 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, tangkapan dibuat berikutan pengesanan oleh aset Maritim Malaysia semasa melaksanakan rondaan rutin di sekitar perairan Kuala Paloh.
“Bot itu dikendalikan oleh tujuh kru termasuk tekong, berumur dalam lingkungan 34 hingga 54 tahun,”katanya menerusi kenyataan media.
Lima daripada kru itu katanya merupakan warga tempatan manakala salah seorang daripada dua kru warga Indonesia gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
“Kesemua kru, bot serta peralatan menangkap ikan ditahan dan diiring ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Manis untuk siasatan lanjut,”katanya.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. -TVS