KUCHING, 19 Mei : Penyanyi Iban dan pemain sape terkemuka, Jerry Kamit meluahkan rasa teruja kerana berpeluang membuat persembahan pada Rainforest World Music Festival (RWMF) yang akan berlangsung pada Jun ini.
Baca juga > > > Alena Murang dan Bamboo Woods bakal meriahkan Rainforest World Music Festival 2022
Lebih istimewa, Jerry, akan bergandingan dengan adik beradiknya serta pemuzik berbangsa Kelabit dan Bidayuh yang lain.
Menurut Jerry, dia sudah bersedia untuk menghidupkan kembali irama etnik kontemporari pada festival itu setelah dua tahun tidak diadakan secara bersemuka ekoran pandemik COVID-19.
“Tahun ini saya akan menampilkan sedikit kelainan kerana anak saya, dua adik dan abang saya turut terlibat dalam persembahan Jerry Kamit dan Friends,” katanya kepada TVS baru – baru ini.
Bercerita tentang perkembangan terkininya, pelantun lagu popular Flora ini memberitahu, dia kini giat menghasilkan kandungan untuk Youtubenya.
“Selain itu, saya juga merancang untuk menerbitkan album baharu namun untuk beberapa bulan mendatang, saya memberi fokus kepada persiapan untuk membuat persembahan pada RWMF terlebih dahulu,” katanya.
Penganjuran RWMF kali ini bermula pada 17 hingga 19 Jun 2022 secara hibrid dengan bertemakan 25th Legendary Rainforest Celebration, festival muzik ini juga akan meraikan ulang tahunnya yang ke-25 sejak mula berlangsung pada 1998.
Baca juga > > > RWMF sasar 15 ribu pengunjung
RWMF menampilkan pemuzik dan penghibur antarabangsa dari Kanada, India, Amerika Syarikat, Finland, Thailand, Indonesia, dan banyak lagi. – TVS